Jumaat, 23 Februari 2018

Buku : Menjadi Usahawan Sehebat Muhammad bin Abdullah

Assalamualaikum wbt.

Nabi Muhammad terbukti adalah manusia terbesar sepanjang sejarah. Tidak ada pemimpin spiritual lain yang mampu memberikan pengaruh sebesar pengaruhnya yang merangkumi semua bidang. Nabi juga menghasilkan para sahabat yang juga berjaya dalam banyak bidang, menghasilkan generasi-generasi pembaharu termasuk para ilmuwan, sasterawan, ahli falsafah dan pemimpin yang handal serta menghasilkan pelbagai hukum dan peraturan yang mengatur kehidupan manusia menjadi lebih baik.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, orang Islam sering terlupa, Nabi Muhammad adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya pada zamannya. Ini kerana kita sering menyempitkan pandangan kita pada beliau. Kita hanya melihat Nabi Muhammad sebagai pemimpin agama semata-mata. Kita juga lebih banyak mengetahui kisah hidupnya selepas beliau diangkat menjadi rasul. Padahal, contoh-contoh pada dirinya yang perlu kita ikuti wujud sejak beliau kanak-kanak, remaja dan sehingga dewasa. Sebelum diangkat menjadi rasul, nabi menunjukkan peribadi yang menandakan beliau bakal menjadi manusia terpenting dalam sejarah dunia.

Di dalam bukunya yang bertajuk, Muhammad SAW: The Super Leader Super Manager, Muhammad Syafi’i Antonio memaparkan ciri-ciri kehandalan Nabi Muhammad dalam lapan bidang. Bidang-bidang itu adalah pembangunan diri, perniagaan, kekeluargaan, dakwah, sosial dan politik, pendidikan, undang-undang dan ketenteraan. Kelapan-lapan ciri ini berasal daripada satu sumber iaitu ajaran Islam.

Dengan demikian, kita perlu menyelami pelbagai aspek kehidupan Nabi Muhammad dan bukan membatasi pada aspek spiritual sahaja. Aspek spiritual adalah roh kepada keseluruhan aspek kehidupan yang membawa manusia mencapai kejayaan.

اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم