Isnin, 8 Februari 2016

DIDIK MEMBACA DARI USIA KECIL -3

Assalamualaikum w.b.t. Apa khabar semua? 

Mohon maaf kerana sudah lama tidak menulis. Masa dan idea yang tidak sesuai untuk diluangkan di sini. Alhamdulillah hari ini mendapat peluang untuk menulis. Kita sambung penulisan yang lalu... sambungan...

6- Tampal poster huruf-huruf dan nombor di bilik mereka
- Antara kaedah lain untuk menggalakkan anak-anak membaca dan mengira adalah dengan menampal kad-kad huruf dan nombor atau poster dinding. Kad dan poster tersebut turut memuatkan gambar-gambar  yang menarik. Dengan cara ini akan menambah minat mereka dan mudah mengingati huruf-huruf dan nombor tersebut.

7- Selalu membawa mereka ke perpustakaan dan kedai buku
- Jika ibu bapa bersama anak-anak ke pusat membeli-belah, jangan lupa singgah ke kedai buku atau ruang menjual bahan-bahan bacaan yang terdapat di pasaraya tersebut. Tunjukkan kepada mereka gambar-gambar dan huruf-huruf serta nombor-nombor. Tunjukkan kepada mereka kita sibuk memilih beberapa buah buku. Lucunya apabila mereka yang baru usia 2-3 tahun meniru gaya kita.
- Sebaiknya kita tidak pulang dan berlalu pergi tanpa membelikan untuk mereka suatu bahan bacaan. Belikanlah untuk anak-anak sejenis bahan bacaan yang sesuai.  Jangan lokek  untuk membelikan bahan bacaan untuk anak-anak. InsyaAllah, berbaloi.

8- Ibu bapa membacakan untuk anak2
- Luangkan masa bersama anak-anak dengan menemani mereka membaca.  Membacakan, mendengar bacaan mereka, membetulkan sebutan dan sebagainya. Selain itu, ibubapa sebaiknya bersoal jawab dengan anak-anak seperti menunjuk gambar-gambar menarik dan melayani pertanyaan mereka.
- Jika ibubapa membacakan buku-buku kisah teladan atau cerita kepada anak-anak adalah sebaiknya dinyatakan moral dari kisah-kisah yang dibacakan. Dan memberi ransangan agar mereka mencontohi moral yang baik dari kisah tersebut.