Isnin, 12 Oktober 2015

Golongan Yang Tercicir

Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah adalah sebuah buku karangan Dr. Fathi Yakan yang berjudul asal " al-Mutasaqituna 'ala Toriq ad-Dakwah, Kaifa wa Limaza ". Buku yang mengupas perihal muslim yang tercicir dari gerakan Islam yang berpunca dari pelbagai sudut. Gejala keciciran pendakwah dari jamaah Islam merupakan penyakit bahaya yang bukan sahaja mengesan pada jamaah tetapi turut pada umat. 

Buku ini mendedahkan punca dan sebab berlaku gejala keciciran di kalangan para muslim dari 'amal Islami kepada 3 bahagian. Pertama adalah sebab yang berkait dengan gerakan itu sendiri. Di sini digariskan 7 sebab yang berkait dengan gerakan atau jamaah antaranya kelemahan tarbiyyah.

Bahagian kedua adalah sebab-sebab yang berkait dengan individu itu sendiri. Beberapa sifat dan perilaku serta tindakan diri sendiri yang menyebabkan mereka tercicir dari saff gerakan Islam. Antara penyakit yang disebut oleh pengarang adalah sikap bermudah-mudah dan longgar dengan hukum dan syariat Allah. Dalam masa yang sama tidak boleh juga bersikap melampau. Rasulullah SAW sendiri menganjurkan umat baginda agar bersederhana.

Bahagian ketiga adalah sebab-sebab tekanan luaran yang tidak mampu dihadapi oleh para pendakwah. Di sini Dr Fathi Yakan menyenaraikan 5 punca yang berkait dengan tekanan luar yang perlu dihadapi oleh para pendakwah. Antara punca tersebut adalah tekanan daripada keluarga sendiri.

Buku Golongan Yang Tercicir juga turut mengisahkan beberapa peristiwa di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat RA menghadapi gejala ini.

Peristiwa yang berlaku kepada gerakan Islam hari ini perlu difahami dan dikaji punca sebenar keciciran ahli dari bahtera perjuangan.Tidak seharusnya seseorang itu hanya menuding jari di sebelah pihak semata-mata tanpa saling bermuhasabah. Hanya dengan ilmu, kefahaman dan iman serta hidayah daripada Allah yang dapat meneguhkan kita di atas jalan perjuangan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan