Khamis, 29 Oktober 2015

Israiliyat Moden

Israiliyat Moden- Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi   

Buku Israiliyyat Moden merupakan sebuah buku yang mengupas isi-isi penting tentang percaturan Yahudi dan pembohongan kuffar terhadap bukan sahaja umat Islam tetapi juga kepada umat dunia. Sudah diketahui umum bagi orang-orang yang gemar membaca dan meneliti setiap peristiwa pahit yang menimpa umat ISlam bahawa dibelakang semua itu ada tangan kotor daripada Israel dan sekutunya. 

Percaturan, penipuan, kezaliman licik dan sebagainya yang mereka lakukan telah meresap ke dalam setiap sektor kehidupan manusia pada hari ini. Pada sudut politik, ekonomi, peradaban, sosiologi, ilmu pengetahuan, institusi keluarga dan pelbagai lagi kezaliman secara terang atau halus telah mereka lancarkan khususnya kepada umat Islam.

Apa itu Israiliyyat? Kenapa Israiliyyat?

" Israiliyyat adalah istilah khusus. Ulama' terdahulu mengaitkannya kepada semua khurafat, pembohongan, penipuan, propaganda, khabar angin dan riwayat-riwayat yang tidak sah tarafnya. Apa yang pasti ia membabitkan terutama perkara yang berhubung dengan cerita mitos orang terdahulu dan berita-berita lampau serta kisah silam.

Israiliyyat dinisbahkan kepada Bani Israil dan bukanlah penting sumber setiap pembohongan dan dongengan yang dikatakan Israiliyyat itu Yahudi. Kadang-kadang ia bersumberkan Kristian asalnya atau Parsi, Rom dan sebagainya. Tetapi mereka mengaitkan semua khurafat itu dengan nama Israiliyyat memandangkan pendominasian bangsa Yahudi nyata lebih berkilauan dari warna-warna bangsa lain."


Beberapa isi kandungan:

1- Israiliyyat dan Yahudi
2- Ciri-ciri ilmu Yahudi 
3- Zaman ini merupakan zaman kekuasaan Yahudi
4- Israiliyyat dan propagandanya Menghancurkan Fikrah Islam

Isnin, 12 Oktober 2015

Golongan Yang Tercicir

Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah adalah sebuah buku karangan Dr. Fathi Yakan yang berjudul asal " al-Mutasaqituna 'ala Toriq ad-Dakwah, Kaifa wa Limaza ". Buku yang mengupas perihal muslim yang tercicir dari gerakan Islam yang berpunca dari pelbagai sudut. Gejala keciciran pendakwah dari jamaah Islam merupakan penyakit bahaya yang bukan sahaja mengesan pada jamaah tetapi turut pada umat. 

Buku ini mendedahkan punca dan sebab berlaku gejala keciciran di kalangan para muslim dari 'amal Islami kepada 3 bahagian. Pertama adalah sebab yang berkait dengan gerakan itu sendiri. Di sini digariskan 7 sebab yang berkait dengan gerakan atau jamaah antaranya kelemahan tarbiyyah.

Bahagian kedua adalah sebab-sebab yang berkait dengan individu itu sendiri. Beberapa sifat dan perilaku serta tindakan diri sendiri yang menyebabkan mereka tercicir dari saff gerakan Islam. Antara penyakit yang disebut oleh pengarang adalah sikap bermudah-mudah dan longgar dengan hukum dan syariat Allah. Dalam masa yang sama tidak boleh juga bersikap melampau. Rasulullah SAW sendiri menganjurkan umat baginda agar bersederhana.

Bahagian ketiga adalah sebab-sebab tekanan luaran yang tidak mampu dihadapi oleh para pendakwah. Di sini Dr Fathi Yakan menyenaraikan 5 punca yang berkait dengan tekanan luar yang perlu dihadapi oleh para pendakwah. Antara punca tersebut adalah tekanan daripada keluarga sendiri.

Buku Golongan Yang Tercicir juga turut mengisahkan beberapa peristiwa di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat RA menghadapi gejala ini.

Peristiwa yang berlaku kepada gerakan Islam hari ini perlu difahami dan dikaji punca sebenar keciciran ahli dari bahtera perjuangan.Tidak seharusnya seseorang itu hanya menuding jari di sebelah pihak semata-mata tanpa saling bermuhasabah. Hanya dengan ilmu, kefahaman dan iman serta hidayah daripada Allah yang dapat meneguhkan kita di atas jalan perjuangan Islam.

Sabtu, 10 Oktober 2015

Selasa, 6 Oktober 2015

Beginilah Rasulullah Berbisnes- Hepi Andi Bastoni

Rasulullah SAW seorang ahli perniagaan yang berjaya pada zamannya. Ada dua prinsip utama yang patut kita contohi dari perjalanan bisnes baginda SAW.  
Pertama, wang bukanlah modal utama dalam berbisnes. Modal utama dalam perniagaan adalah membina kepercayaan dan dapat dipercayai ( al-Amin ). 
Kedua, kelayakan dan kemampuan teknikal yang berkaitan dengan perniagaan. Rasulullah SAW juga mengetahui selok belok aktiviti perdagangan dan perekonomian. Baginda mengetahui untungnya perdagangan dan bahayanya riba sehingga baginda menganjurkan jual-beli dan menghapuskan sistem riba. Baginda SAW adalah seorang yang berjaya  dalam bisnesnya tanpa menggunakan cara-cara yang tidak baik. Baginda meyakini bahawa kejayaan bisnes yang berterusan hanya dapat dicapai dengan cara-cara yang sihat. Baginda melarang para peniaga menyembunyikan kecacatan barang yang diperdagangkan, melarang melakukan jual-beli yang mengandungi ketidakpastian (gharar) dan tindakan-tindakan yang tidak baik lainnya.

Buku 'Beginilah Rasulullah Berbisnes' bukan sahaja menjelaskan kepada kita perihal Rasulullah SAW dalam berurusan niaga. Tetapi turut dimuatkan kupasan-kupasan menarik berkenaan kaya dan miskin serta harta pada pandangan Islam. Selain itu, turut disajikan di dalam buku ini beberapa motivasi dalam pengurusan kewangan.

Antara isi kandungan: Beginilah Rasulullah Berbisnes- Hepi Andi Bastoni

1- Harta dalam pandangan Islam
2- Kaya dan miskin
3- Antara zuhud dan miskin
4- Perancangan kewangan
5- Teladan daripada Imam Abu Hanifah
6- Rasulullah SAW seorang ahli perniagaan
7- Beginilah Rasulullah berbisnes ( beberapa sifat yang perlu ada pada seorang ahli perniagaan)